Mengapa Berlakunya Putus Haid (Menopause) ?

Organ yang bertanggungjawab dalam menghasilkan hormon ialah hipotalamus, pituitari dan ovari. Hipotalamus dan pituitari terletak di dalam otak manusia manakala ovari terletak di kedua-dua belah kiri dan kanan uterus. Keseluruhan sistem ini pula dipanggil sistem endokrin. Hipotalamus akan menyambungkan otak kita dengan sistem endokrin dan akan mengawal kitaran haid dengan bertindak ke atas pituitari.

Kitaran haid selalunya mengambil masa purata 28 hari. Semasa 14 hari pertama dalam kitar, yang dikenali sebagai fasa folikel, (jika hari pertama diambil dari hari pertama pendarahan haid berlaku) hipotalamus akan menghantar isyarat kepada pituitari untuk merembeskan hormon perangsang folikel (FSH). FSH ini akan merangsang sel telur atau folikel di ovari untuk membesar. Semasa folikel membesar, ia akan menghasilkan estrogen yang akan menyebabkan lapisan pada dinding uterus menebal dan seterusnya bersedia untuk pelekatan telur.

Semasa setiap kitaran haid, satu folikel akan menjadi lebih dominan dan akan terus membesar dan sel telur yang lain akan mati. Semasa lebih kurang hari ke 14 kitaran, hipotalamus akan menghantar satu lagi isyarat ke pituitari untuk mengaruh pembebasan hormon luteinizing (LH). LH menyebabkan folikel yang dominan tadi dibebaskan dari ovari dan bergerak ke tiub Fallopian di mana ia akan menunggu untuk dipersenyawakan. Proses ini dikenali sebagai ovulasi.

Pada folikel tersebut, sel yang ada akan mengganda dan berhubungan di antara satu sama lain untuk membentuk korpus luteum (jasad kuning). Korpus luteum akan berterusan menghasilkan estrogen pada kuantiti yang sedikit di samping menghasilkan satu lagi jenis hormon dalam kuantiti yang banyak iaitu progesteron. Progesteron merangsang sel di dinding uterin untuk merembeskan nutrien yang akan menggalakkan pertumbuhan telur jika ianya dipersenyawakan. Jika telur tersebut tidak dipersenyawakan, korpus luteum akan menjadi semakin kecil dan berhenti merembeskan progesteron dan estrogen. Tanpa hormon-hormon ini, sel di dinding uterin akan mati dan bersama darah dan sedikit mukus, akan menghasilkan menstruasi (darah kotor atau haid).

Sebelum haid bermula, paras rendah estrogen dan progesteron akan memberi isyarat kepada hipotalamus untuk memulakan kitaran semula. Hipotalamus kemudiannya akan menghantar isyarat ke pituitari dan kitaran bermula sekali lagi.

Semasa kelahiran seorang bayi perempuan, ovarinya mempunyai lebih kurang 2 juta telur. Apabila dia mula untuk mempunyai haid, terdapat hanya kira-kira 75 ribu yang tinggal. Selepas akil baligh, 8-10 telur membesar setiap bulan. Selalunya salah satu daripadanya akan matang. Kira-kira 10 tahun sebelum menopause, ovari akan mula ketiadaan telur, kesuburan berkurang, penghasilan estrogen berkurangan dan kitaran haid menjadi tidak normal. Pituitari akan terus merembeskan FSH dan LH dengan harapan untuk mengaruh ovari, jadi paras FSH dan LH meningkat.

Apabila menopause semakin hampir, ovulasi berhenti, begitu juga penghasilan progesteron. Semasa sebelum menopause, estrogen akan dihasilkan seperti biasa dan oleh kerana ketiadaan progesteron, penebalan dinding tidak dapat dikawal. Oleh itu, apabila pendarahan berlaku, ia menjadi lebih banyak dan menyebabkan kesakitan. Apabila menopause berlaku, ovari akan berhenti menghasilkan estrogen.

Walaupun ovulasi telah berhenti, bahagian pusat ovari berterusan menghasilkan dua hormon iaitu androstenedione dan testosterone. Selain dari ovari, kelenjar adrenal yang terletak di atas ginjal, juga akan menghasilkan kedua-dua hormon tersebut termasuklah progesteron dan estrogen dalam kuantiti yang sedikit. Hati, ginjal, adrenal, otak dan sel lemak mengambil androstenedione di dalam peredaran dan menukarkannya kepada estrogen dan testosteron. Jika bekalan estrogen adalah sentiasa stabil, kelenjar adrenal dapat menolong mengurangkan perubahan-perubahan yang dialami semasa menopause.

Diet yang sihat dan senaman yang cukup juga akan membantu. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan (15% sehingga 25% lemak) supaya terdapat lemak yang cukup untuk penukaran androstenedione kepada estrogen.

About Wannura

Pencinta Kehidupan Alamiah
This entry was posted in Penyakit. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s