Refraktif Mata dan Pakar Mata (Oftalmologis)

MATA ADALAH SATU DARI 5 PANCAINDERA MANUSIA ANUGERAH TUHAN YANG PALING PENTING KERANA MATA ANDA IBARAT JENDELA YANG DAPAT MENYINGKAP SEGALA BENTUK KEINDAHAN DAN KEHIDUPAN DUNIA. NAMUN, HASIL KAJIAN SAYA TERHADAP MASYARAKAT MANUSIA, TIDAK SEMUA DARIPADA KITA YANG TAHU ATAU MENGAMBIL BERAT TENTANG MATA KITA, DAN JUGA TIDAK SEDAR BAHAWA TERDAPAT HAL-HAL YANG AMAT UNIK DAN MENARIK DI DALAMNYA.

FAHAMI MIOPIA

Kerapkali jika kita ke praktis optikal atau kedai cermin mata untuk menjalani pemeriksaan mata ataupun ujian penglihatan, adakah anda pernah bertanya ataupun diberi penerangan tentang jenis rabun yang anda alami? Seorang Optometris sepatutnya dapat menerangkan pada anda jenis rabun yang anda miliki dan akan menasihati anda jenis kanta dan bingkai yang sesuai untuk dipakai untuk merawat masalah rabun anda. Adakalanya alternatif yang lebih baik seperti memakai kanta sentuh mungkin akan dicadangkan.

Tidak semua orang yang mengalami masalah refraktif mata mempunyai rabun jenis miopia ataupun bermaksud rabun jauh. Miopia hanya boleh dibetulkan dengan pemakaian kanta cekung. Kanta cekung adalah kanta yang mempunyai bahagian tengahnya nipis berbanding dengan bahagian hujung kanta. Sekiranya kuasa kanta cekung adalah tinggi, maka mata yang memakai kanta ini akan kelihatan lebih kecil dari saiz biasa. Masalah utama bagi mereka yang mempunyai miopia yang tidak dibetulkan adalah kekaburan pada jarak jauh. Jarang sekali ianya datang bersama simptom pening. Secara optikal boleh diterangkan bahawa cahaya yang memasuki mata miopik akan tertumpu di bahagian hadapan retina disebabkan bebola mata (panjang axial) mata yang panjang. Oleh itu kanta cekung diperlukan untuk membawa imej yang dihadapan mata itu untuk diletakkan di atas retina mata untuk mendapatkan satu imej yang jelas (Sila lihat gambarajah 1).

Tentang mata Bagi kanak-kanak miopia kebiasaannya mereka tidak akan mengadu kekaburan. Ini adalah disebabkan kanak-kanak ini telah beradaptasi dengan kekaburan itu dari awal usia dan tidak mempunyai pengalaman atau idea dengan apa yang dimaksudkan dengan pandangan yang jelas. Apabila kanak-kanak ini sudah melangkah ke alam persekolahan, tanda-tanda miopia akan menjadi lebih ketara. Kanak-kanak miopia akan mula mengadu tidak dapat melihat papan hitam dengan baik jika duduk di barisan belakang kelas, ataupun guru dan ibubapa mula mendapati kerja penyalinan dari papan hitam tidak dapat dihabiskan. Guru juga mungkin akan terperasan yang kanak-kanak miopia ini suka mengecilkan mata ketika cuba membaca sesuatu yang jauh atau memegang buku terlalu dekat dengan mata.

Sebagai ibubapa kita patut cuba memerhatikan anak kita ketika mereka menonton televisyen. Adakah mereka duduk terlalu hampir untuk menonton televisyen ataupun mengecilkan mata ketika menonton . Ada juga kanak-kanak miopik ini akan meneleng kepala pada satu posisi tertentu ketika cuba membaca ataupun menonton. Sekiranya anak anda berkelakuan sedemikian, mereka mungkin mempunyai masalah rabun. Anda juga boleh cuba untuk menekup sebelah mata anak anda dan menyuruhnya membaca satu tulisan pada jarak 6 meter (seperti papan tanda) dan membandingkannya dengan mata yang satu lagi.

Walaubagaimanapun, adakalanya tanda-tanda miopia ini tidak dapat dilihat pada sesetengah kanak-kanak. Ibubapa sering melaporkan bahawa anak tidak mengadu kekaburan ataupun anaknya selalu menyiapkan kerja-kerja sekolah dengan baik dan merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Tetapi sekiranya ditanya dengan lebih mendalam, mungkin kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan ini akan mengakui yang kerja-kerja sekolah disalin dari kawan yang duduk disebelahnya dan bukannya terus dari papan hitam ataupun kanak-kanak itu sendiri mengambil inisiatif untuk ke hadapan apabila hendak menyalin sesuatu dari papan hitam. Ini kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak perempuan.

Tentang mata

Masalah miopia akan berterusan sekiranya tanda-tanda ini tidak diperhatikan dari awal. Sebarang kerabunan yang tidak dibetulkan akan menyebabkan ralat refraksi semakin meningkat berikutan dengan lebih banyak penggunaan mata seperti membaca, bermain dengan mainan yang kecil, menonton televisyen, bermain komputer dan juga bermain permainan elektronik.

Sekiranya ianya berterusan tanpa disedari, mata yang rabun akan mula mengalami ambliopia (mata malas). Ambliopia adalah satu keadaan di mana rabun yang telah dibetulkan dengan sepenuhnya tidak dapat mencapai tahap penglihatan yang sepatutnya (VA 6/6). Ianya boleh berlaku pada satu mata ataupun kedua-dua belah mata. Perlu diingatkan adakalanya ambliopia ini juga boleh berlaku sekiranya ralat refraksi yang tidak betul diberikan untuk tempoh yang lama. Oleh itu adalah penting membawa anak anda untuk pemeriksaan mata yang dijalankan oleh Optometris sahaja.

Tidak kurang juga ibubapa yang tidak dapat menerima hakikat yang anak-anaknya memerlukan pemakaian cermin mata. Pada pendapat mereka, tidak mungkin anak mereka mempunyai rabun kerana ibubapa sendiri tidak pernah memakai cermin mata. Bagi mereka hanya ibubapa yang bercermin mata sahaja yang akan mempunyai anak yang menghadapi risiko untuk rabun. Pendapat ini adalah tidak benar. Terdapat banyak kajian yang telah dan sedang dijalankan di Malaysia yang menunjukkan rabun jenis miopia bukanlah berpunca hanya dari genetik tetapi ianya juga berpunca dari faktor persekitaran seperti pembelajaran, penggunaan komputer dan sebagainya. Rata-rata anak-anak di kota mempunyai risiko rabun yang lebih tinggi dari anak-anak di kampung memandangkan tempoh pembelajaran adalah lebih lama seperti menghadiri sekolah kebangsaan, sekolah agama, tuition dan kelas-kelas tambahan yang lain. Rata-rata kanak-kanak di bandar lebih banyak menghabiskan masa lapang dengan menonton televisyen, bermain komputer dan game. Manakala kanak-kanak di kampung lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah seperti bermain bola, gasing dan sebagainya. Aktiviti yang memerlukan penggunaan mata yang lebih seperti melakukan kerja dekat akan menyebabkan daya akomodasi mata bertambah. Faktor ini disebut sebagai salah satu penyebab peningkatan miopia.

Kawalan Miopia

Satu soalan yang sering ditanya oleh ibubapa adalah bagaimana hendak membenteras miopia? Sehingga ke hari ini, miopia tidak dapat dihalang. Apa yang dapat dilakukan adalan mengesan hadirnya miopia dari awal lagi (sebaik-baiknya sebelum masuk ke alam persekolahan). Miopia dapat dikawal sekiranya kanak-kanak diberi preskripsi yang betul dan mereka perlu memakai pembetulan tersebut (cermin mata atau kanta sentuh) sepanjang masa. Kanak-kanak juga perlu berjumpa Optometris setiap 6 bulan untuk mendapatkan preskripsi baru (jika perlu). Jangan tunggu sehingga cermin mata patah untuk diganti. Memakai cermin mata yang mempunyai kuasa yang lebih rendah dari sepatutnya akan meningkatkan progresi miopia dengan lebih cepat.Tentang mata Anda dapat membantu anak anda untuk mendapatkan suasana yang lebih kondusif untuk pembelajaran dengan menyediakan pencahayaan yang yang secukupnya untuk belajar, membaca buku dengan posisi yang betul (berbaring atau meniarap tidak digalakkan kerana jarak bahan bacaan dengan mata akan menjadi terlalu dekat) dan digalakkan berehat seketika dengan melihat satu objek jauh setelah setengah jam membaca atau menggunakan komputer. Bagi kanak-kanak kecil yang bercermin mata, penting untuk kita memberi motivasi dan menggalakkannya memakai cermin mata dan juga mengajak orang-orang disekelilingnya (di sekolah dan saudara mara) supaya tidak mengejek penampilannya bercermin mata. Mereka patut diberitahu bahawa pemakaian cermin mata tidak akan menganggu aktiviti lasak seperti berlari, melompat atau bermain bola. Paling penting sekali ialah ibubapa tidak sepatutnya melengah-lengahkan pemakaian cermin mata pada kanak-kanak. Jangan tunggu sehingga setahun dua untuk mula memberi kanak-kanak memakai cermin mata. Cermin mata bukan satu kecacatan pada fizikal kanak-kanak. Membiarkan kanak-kanak rabun tanpa pembetulan akan menganggu proses tumbesaran dan pembelajaran mereka dan boleh mencetuskan gangguan emosi yang berkekalan.

Sumber :

Dr Haliza Abdul Mutalib
Pakar Optometris & Prof Madya
Jabatan Optometri, FSKB
Universiti Kebangsaan Malaysia
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
50300 KUALA LUMPUR

About zainura66

Pencinta Alam Semesta
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s