Kanser Buah Pinggang

KANSER memang penyakit yang menakutkan kerana ia bukan saja dikaitkan dengan kematian, malah kaedah rawatannya lebih ‘keras’ berbanding penyakit lain, terutama jika kanser dihidapi sampai ke peringkat serius.

Rawatan kanser menjadi lebih payah jika ia merebak ke organ atau bahagian badan lain (dipanggil mengalami metastasis). Bagaimanapun, ini kerap dialami pesakit kanser buah pinggang apabila mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.kidney cancer_stage4

Kajian menunjukkan hampir 30 peratus pesakit kanser buah pinggang mengalami metastasis ketika penyakit mereka dikesan. Dalam kebanyakan kes, kanser mereka merebak ke paru-paru, tisu lembut, tulang, hati, kulit dan sistem saraf pusat.

Sebagaimana kanser lain, kehadiran kanser buah pinggang jarang disedari. Ini menyebabkan kebanyakan kes sampai ke peringkat serius (peringkat ketiga dan keempat) apabila penyakit dikesan — itupun selepas pesakit mengalami pelbagai gejala kesihatan.

Kanser buah pinggang mungkin tidak popular seperti kanser payu dara atau prostat kerana ia hanya membabitkan tiga peratus penduduk dewasa di setiap negara.

Namun, yang membimbangkan ialah berlakunya peningkatan jumlah pesakit, terutama di kalangan warga emas lelaki berumur 60 hingga 69 tahun dan ia dikategorikan sebagai 10 kanser utama yang menyebabkan kematian.

Pada 2002, kira-kira 208,000 orang di seluruh dunia menghidap penyakit ini (dan 37,000 daripadanya rakyat Amerika) serta 102,000 meninggal dunia.

Jumlah pesakit kanser buah pinggang di Amerika Syarikat tahun lalu dianggarkan 36,000 orang dan 40 peratus daripadanya berakhir dengan kematian.

Sehingga hari ini, lebih 57,000 kes kanser buah pinggang dikesan di Amerika dan dianggarkan 13,000 pesakit akan meninggal dunia walaupun mendapat rawatan.

Secara global, kanser buah pinggang adalah kanser keenam paling lazim (terutama pada peringkat III dan IV) di dunia selepas kanser paru-paru, payu dara, kolorektal, prostat dan hati.

Di Malaysia, kanser ini di tangga ke-17 bagi lelaki dan ke-20 bagi wanita dan kemungkinan menghidap kanser buah pinggang meningkat dengan cepat selepas berumur 40 tahun.

Kaum Cina lebih ramai menghidap kanser ini berbanding Melayu dan India. Lebih 90 peratus kes dikesan pada pesakit berumur 45 tahun ke atas.

Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Dr Gurcharan Singh Khera, berkata berdasarkan laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan 2003, sebanyak 305 kes kanser buah pinggang dicatatkan di Semenanjung Malaysia empat tahun lalu dan kini jumlahnya dijangka lebih tinggi.

Antara jenis kanser buah pinggang paling biasa ialah sel renal karsinoma (RCC) iaitu 85 peratus daripada semua kes kanser buah pinggang.

Walaupun RCC kerap berlaku pada lelaki tua (dua kali ganda berbanding wanita), ia juga boleh menyerang wanita dan lelaki pada semua peringkat umur. Biasanya, wanita mendapat kanser buah pinggang selepas berumur 70 tahun.

Insiden RCC di Malaysia ialah 2.1 kes bagi 100,000 penduduk atau 203 kes pesakit lelaki dan 102 pesakit wanita pada 2003.

Sehingga kini punca sebenar kanser buah pinggang masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi banyak faktor risiko menyumbang kepada penyakit ini, termasuk gaya hidup tidak sihat, kurang bersenam dan banyak makan makanan yang kaya lemak.

“Walaupun ada kajian mengaitkan kanser buah pinggang dengan faktor genetik, kesnya sangat kecil. Namun, bagi individu yang ada sejarah RCC dalam keluarga, mereka ada risiko lebih tinggi mendapat penyakit ini berbanding orang lain.

“Bagaimanapun, penyelidik tidak menolak ia disebabkan berlakunya mutasi (perubahan genetik) sehingga terjadi pertumbuhan sel epitelium renal (lapisan sel dalam buah pinggang) yang tidak terkawal,” katanya ketika pelancaran ubat oral baru Nexavar yang mengandungi bahan aktif sorafenib anjuran Bayer Schering Pharma.

Bagaimana Kanser Buah Pinggang (RCC) terjadi?

Pembentukan RCC bermula dengan satu ketumbuhan unilateral (pada satu sisi), bintik atau bergelung. Ia boleh menjadi besar sehingga tujuh sentimeter (tiga inci). Ia juga boleh bermula sebagai ketumbuhan dalam salur darah yang menyambungkan buah pinggang.

Sel kanser ini mempunyai sifat unik dan memerlukan darah serta nutrien untuk membesar. Sel kanser ini boleh menyebabkan pembentukan cabang baru pada salur darah sedia ada untuk membekalkan darah kepadanya.

Cabang salur darah yang baru (salur darah tidak normal) ini kemudian menjadi banyak untuk mengalirkan lebih banyak darah dan mempercepatkan proses pembesaran sel kanser.

Apabila kanser bertambah besar, ia merebak ke organ atau bahagian badan lain melalui salur darah tidak normal tadi dan memasuki ureter (salur kencing) atau pembuluh darah pada jantung.

Yang membimbangkan ialah kanser buah pinggang boleh merebak ke organ lain atau mengalami metastasis sebelum menunjukkan sebarang gejala.

Kajian mendapati 25 hingga 30 peratus kes kanser buah pinggang sudah merebak ketika dikesan. Antara organ yang paling kerap dijangkiti ialah paru-paru, tisu lembut, tulang, hati dan otak.

Tanda dan gejala

Kebanyakan kes kanser buah pinggang atau RCC tiada tanda awal. Tanda hanya dapat dikesan apabila penyakit sampai ke peringkat serius atau merebak ke bahagian badan lain.

Ada juga kajian menunjukkan 30 hingga 50 peratus pesakit hanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka apabila kanser buah pinggang memasuki peringkat ke-4 (paling serius).

Bagaimanapun, menurut Perunding Onkologi Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr Ibrahim Wahid, beberapa tanda awal perlu diberi keutamaan iaitu apabila kencing mengandungi darah dan berasa sakit pada bahagian rusuk atau belakang. Namun bukan semua pesakit mengalami tanda ini.

Rawatan

Walaupun kes kanser buah pinggang jauh lebih kecil berbanding kanser lain, ia sangat menakut dan membimbangkan kerana sukar dirawat, terutama jika sampai ke peringkat serius (peringkat ketiga dan keempat).

Di seluruh dunia, dianggarkan 40 hingga 50 peratus pesakit kanser buah pinggang berakhir dengan kematian, walaupun mendapat rawatan.

“Kanser buah pinggang lanjutan sangat sukar dirawat dan ia tidak bertindak balas kepada rawatan kemoterapi atau terapi hormon yang digunakan bagi merawat kanser lain. Walaupun kita ada ubat lebih kuat, ia memberi kesan sampingan teruk kepada pesakit,” kata Perunding Perubatan Onkologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Christina Ng.

Penggunaan ubat lain seperti interleukin-2 dan interferon; walaupun boleh mengecilkan ketumbuhan, tetapi ia mendatangkan kesan sampingan serius dan hanya 10 hingga 20 peratus pesakit bertindak balas kepada ubat berkenaan dengan kadar pemanjangan hayat selama 10 bulan.

Namun, penghasilan ubat sorafenib dalam bentuk pil makan yang diambil dua kali sehari memberi harapan baru besar kepada pesakit.

Ubat berkenaan direka dengan dua fungsi utama, iaitu bertindak ke atas sel kanser dan salur darah pada kanser. Ia bertindak dengan merencatkan tindakan reseptor kinase yang bertanggungjawab dalam menggalakkan pertumbuhan kanser dan menghentikan pembentukan salur darah baru yang membekal nutrien pada sel kanser,

Kajian Pendekatan Penilaian Dalam Penilaian Kanser Renal Global (TARGETs) ke atas 769 pesakit kanser buah pinggang peringkat ketiga dan keempat di 19 negara mendapati, kadar pemanjangan jangka hayat pesakit yang menerima ubat sorafenib lebih panjang iaitu 19.3 bulan berbanding kumpulan kawalan (pesakit yang diberikan ubat kosong) iaitu hanya 15.9 bulan.

Kajian itu juga mendapati, risiko ketumbuhan merebak atau pesakit meninggal dunia ketika rawatan juga berkurangan 50 peratus. Sebanyak 84 peratus pesakit yang diberi sorafenib menunjukkan keadaan penyakit yang terkawal atau bertambah baik berbanding hanya 55 peratus bagi kumpulan kawalan.

Pada peringkat akhir kajian, 48 peratus pesakit dalam kumpulan kawalan diberikan ubat sorafenib dan didapati mereka juga mendapat manfaatnya.

Lebih menarik, ubat ini didapati lebih mudah diterima dan kurang kesan sampingan. Antara kesan sampingan yang dilaporkan ialah cirit-birit; tindak balas pada kaki, tangan dan kulit; kelesuan dan pendarahan. Bagaimanapun, ia masih boleh ditanggung dan hanya bersifat sementara.

Dr Ibrahim berkata, selama ini pakar perubatan memberi tumpuan kepada kemoterapi atau radioterapi untuk merawat kanser, tetapi kini beralih kepada rawatan terapi khusus.

Ia perkembangan baik kerana pesakit kanser buah pinggang tidak perlu lagi berdepan kesan sampingan kemo atau radioterapi yang menyebabkan mereka mengalami keguguran rambut, loya, muntah, cirit birit, ruam dan kelesuan.

Bagaimanapun, ubat ini juga boleh meningkatkan tekanan darah pada peringkat awal rawatan. Pesakit dipantau pada minggu pertama hingga keenam bagi mengelak komplikasi tidak diingini.

Dr Ng berkata, bagi kes yang mengalami kesan sampingan teruk atau berkekalan, rawatan ditangguhkan sementara. Doktor melakukan pengubahsuaian dos atau sebarang perubahan rawatan bergantung kepada keadaan pesakit.

Walaupun sorafenib oral diluluskan di 50 negara untuk merawat kanser buah pinggang, ia juga dilihat satu perkembangan positif bagi kes kanser lain seperti kanser paru-paru, payu dara dan melanoma malignan.

Faktor risiko RCC

a. Faktor gaya hidup dan pemakanan
> Merokok (perokok mempunyai risiko dua kali lebih tinggi).
> Obesiti.
> Makanan tinggi lemak.
> Kurang bersenam.

b. Faktor persekitaran dan pekerjaan

> Terdedah kepada bahan kimia seperti kadmium.
> Pelarut mengandungi klorin.
> Bahan petrokimia.
> Cat dan bahan mengandungi pelarut.
> Asbestos.

c. Faktor lain

> Terlalu lama menjalani dialisis.
> Tekanan darah tinggi.
> Terlalu lama mengambil ubat tahan sakit (analgesik).
> Penyakit sistik pada buah pinggang.
> Faktor genetik — berlaku mutasi pada bahan baka.

Tanda/ gejala Kanser Buah Pinggang

1) Kencing berdarah (hematuria).
2) Sakit pada bahagian rusuk (sisi badan).
3) Sakit belakang.
4) Ada ketulan pada bahagian rusuk dan abdomen.
5) Hilang selera makan.
6) Berat badan menurun.
7) Demam.
8) Kelesuan melampau.
9) Tekanan darah meningkat.
10)Ketidaknormalan elektrolit (kandungan ion dalam cecair badan).
11)Gejala berterusan dengan sindrom paraneoplastik (gejala yang disebabkan kehadiran kanser).

Sumber : http://b17nitrilosides.blogspot.com

About zainura66

Pencinta Alam Semesta
This entry was posted in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s