Kesan Jangkamasa Panjang Putus Haid (Menopouse)

Selain kesan jangka masa pendek yang ditunjukkan oleh tanda-tanda dan simptom-simptom, terdapat juga kesan jangka masa panjang yang juga disebabkan oleh pengurangan penghasilan estrogen. Antara kesan-kesan yang dapat dijangkakan ialah:

* Penyakit jantung koronari.
* Osteoporosis.
* Masalah genitourinari terutamanya masalah dalam mengawal pembuangan air kecil.
Sebagai tambahan, terdapat banyak kesan minor yang melibatkan menopause iaitu perubahan kulit, buah dada dan rambut.

a) Penyakit Jantung Koronari.

Ini ialah suatu penyakit yang paling serius yang boleh didapati akibat menopause. Ianya adalah penyebab utama kematian wanita yang telah menopause jika dibandingkan dengan peratus penyebab kematiannya ke atas wanita yang belum menopause. Malah, ianya melebihi peratus kematian akibat penyakit kanser di kalangan wanita. Wanita yang berumur 50 tahun mempunyai 1 dalam 2 peluang untuk mengidap penyakit jantung koronari dalam hidupnya. Sekurang-kurangnya 1 dalam 3 wanita akan mati disebabkan oleh penyakit ini.

Penyakit jantung koronari terjadi apabila saluran darah yang membawa darah ke jantung menjadi sempit. Apabila kita tua, akan terdapat pemendapan kolesterol sedikit demi sedikit di dinding salur darah yang dipanggil plak. Plak inilah yang menyempitkan salur darah. Ini akan menyebabkan pengurangan aliran darah ke otot jantung. Jantung tidak dapat mengepam darah secara normal, dengan itu, ia terdedah kepada keadaan aritmia iaitu ketidaknormalan degupan jantung.

Apabila aliran darah ke jantung berkurang dan diikuti dengan tekanan (stress), wanita ini akan mengalami kesakitan di bahagian dada yang dipanggil sebagai angina pektoris. Kesakitan ini ditandai dengan rasa ‘crushing’ di bahagian dada yang akan merebak ke tangan kiri atau tengkuk. Episod angina pektoris yang berlanjutan akan menyebabkan otot jantung mati dan ini pula akan mengakibatkan terjadinya serangan jantung atau infarksi miokardial.

Apabila otot jantung berterusan menjadi lemah, jantung tidak akan berupaya untuk mengepam darah dengan efisien dan ini menyebabkan darah terkumpul di dalam paru-paru. Apabila ini berlaku, kegagalan jantung terjadi. Selalunya wanita tidak mengalami simptom klasik serangan jantung, oleh itu, mereka tidak menyedari kehadiran penyakit tersebut dalam diri mereka. Simptom yang biasanya ditunjukkan oleh wanita ialah loya, penat, atau rasa tidak sihat.

Apa yang menyebabkan wanita menopause berisiko mengidap penyakit jantung koronari ?

Estrogen dalam badan wanita mengurangkan peredaran lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol jahat dan meningkatkan lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) atau kolesterol baik. HDL berperanan mengeluarkan kolesterol daripada saluran darah, manakala LDL membawa kolesterol ke dalam peredaran darah.

Estrogen juga didapati mengurangkan kejadian pembekuan darah di dalam arteri. Selain itu, estrogen mengembangkan arteri koronari dan ini akan membenarkan banyak aliran darah ke jantung. Apabila wanita menghampiri menopause, berlaku penurunan paras estrogen dan ini bermakna kawalan keatas kejadian penyakit jantung semakin rendah.

Beberapa faktor risiko telah dikenalpasti menyumbang kepada kejadian penyakit jantung koronari dalam wanita iaitu:

* Merokok
* Tekanan darah tinggi
* Kencing manis
* Obesiti
* Oophorectemy (pembuangan ovari)
* Postmenopause dan tidak menggunakan HRT
* Sejarah keluarga mengidap serangan jantung sebelum umur 60 tahun
* Peningkatan kolesterol
* Peningkatan trigliserida
* Lanjut usia (71-80)
* Personaliti Jenis A


Pencegahan Penyakit Jantung

Beberapa langkah pencegahan boleh diambil untuk menurunkan kebarangkalian mendapat penyakit jantung iaitu :

* Berenti merokok
* Merawat tekanan darah tinggi (jika ada)
* Mengawal kencing manis
* Megekalkan berat badan ideal
* Merawat peningkatan paras kolesterol dan trigliserida menerusi diet, senaman dan ubat
* Menggunakan terapi penggantian hormon (HRT)

b) Osteoporosis

Osteoporosis atau tulang poros adalah satu masalah yang serius dalam menopause. Tulang biasanya akan dipecahkan dan diganti, tetapi dalam menopause, tulang yang dipecahkan adalah melebihi tulang yang dibina semula. Oleh itu, tulang mudah patah terutamanya tulang pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.

Wanita dengan kepadatan tulang yang tinggi mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengidap osteoporosis berbanding wanita dengan kepadatan tulang yang rendah. Estrogen mengawal tulang daripada kehilangan kalsium. Seorang wanita boleh kehilangan 2-5 % kepadatan tulang dalam jangka masa 5 tahun semenjak bermulanya menopause. Osteoporosis tidak mempunyai simptom di awal penyakit. Cuma di peringkat akhir penyakit ia menyebabkan kesakitan tulang belakang dan abdomen. Jadi, ujian ketumpatan tulang dicadangkan :

* Selepas menopause atau sewaktu berlakunya ketiadaan haid
* Wanita yang banyak mengambil steroid
* Wanita yang mempunyai kelenjar paratiroid yang terlalu aktif

Kehilangan tulang bermula selepas umur 35. Ini adalah sebab mengapa pentingnya seorang wanita tidak kira umur supaya membina kepadatan tulang dengan melakukan senaman seperti berjalan, berlari, mengangkat benda berat (dengan cara yang betul) dan dengan pengambilan diet yang mengandungi banyak kalori dan vitamin D – sekurang-kurangnya 1000 mg kalsium sebelum menopause dan 1500 mg selepas menopause. Rawatan estrogen boleh menolong mengurangkan berlakunya osteoporosis.

Risiko untuk berlaku osteoporosis adalah tinggi pada wanita:

* Asia atau yang berkulit putih.
* Mempunyai berat kurang dari purata ketinggian.
* Menopause awal (sebelum usia 40 tahun).
* Kurang pengambilan kalsium (<1500 mg/hari).
* Kurang pengambilan vitamin D.
* Mempunyai sejarah keluarga osteoporosis.
* Mempunyai diet tinggi kafein, alkohol atau protein.
* Mempunyai gangguan hormonal seperti kencing manis, hepatitis B dan penyakit Cushing.
* Merokok.
* Tidak selalu bersenam.
* Mengambil ubat yang mengandungi steroid atau kortison melebihi 6 bulan
* Postmenopause dan tidak menggunakan HRT.

c) Sistem genitourinari

Bagi wanita putus haid, vulva (bukaan bagi vagina) akan menjadi lebih nipis. Ia juga akan mengecut dan ini akan menyebabkan kesakitan sewaktu hubungan kelamin. Masalah Pundi Kencing Stress Urinari Incontinence (SUI ) merujuk kepada pengeluaran urin secara tidak sengaja apabila seseorang ketawa, batuk atau bersin. Keadaan ini berlaku kerana uretra semakin tertarik menjauhi tulang pubik. Kelahiran menerusi vagina, usia yang melebihi 60 tahun serta berdiri terlalu lama menjadi faktor risiko keadaan ini.

Tips untuk anda !

Senaman yang boleh diamalkan untuk mengelakkan keadaan ini ialah senaman Kegel. Senaman Kegel Dr. Arnold Kegel mencipta senaman ini dalam tahun 1950an. Ia membantu menguatkan otot yang berfungsi menghentikan aliran urin dan menghalang pergerakan usus. Ia juga adalah otot yang mengecut semasa ‘orgasm’.

1.Kawal otot pelvik seperti sedang menahan air kencing dan kemudian kecutkan bukaan dubur seperti sedang menahan membuang air besar.

2.Ketatkan otot semula, tahan selama 10 saat dan ulangi sebanyak sepuluh kali.

3.Ulangi 5-10 kali setiap hari.

d) Perubahan Kulit

Kadar ketebalan kulit akan menurun dengan kadar yang sama seperti ketumpatan tulang. 30% tisu penghubung akan hilang dalam 10 tahun pertama selepas bermulanya putus haid. Kulit akan senang lebam dan pigmentasi yang dipanggil ‘liver spots’ akan menjadi banyak. Jerawat juga akan muncul. Payu dara akan kehilangan tisu lemak serta kekenyalannya menghasilkan payu dara yang kecil dan jatuh. Kekedutan kulit juga akan menjadi lebih ketara dalam wanita putus haid.

About zainura66

Pencinta Alam Semesta
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s