Anda tahu apa itu sindrom kejutan toksin ?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

DI Malaysia, sindrom kejutan toksin (toxic shock syndrome – TSS) jarang berlaku berbanding Amerika. TSS sering dikaitkan sebagai jangkitan dalam darah khususnya bagi mereka yang kerap menggunakan tampon berdaya penyerapan tinggi ketika haid.

Darah haid sebenarnya datang daripada lapisan tisu yang mengalas dinding rahim dipanggil endometrium.

Bagi wanita negara ini, penggunaan tampon tidak popular dan bukan menjadi kebiasaan ketika datang haid. Kebiasaannya, golongan ini memilih tuala wanita yang dianggap sesuai dengan budaya Asia dan mudah dibasuh. Di Amerika, kira-kira 70 peratus wanita menggunakan tampon atau tuala wanita dan menyebabkan kes TSS banyak berlaku di negara itu.

Setiausaha Persatuan Kesihatan Seksualiti Sedunia, Dr Bervery Whipple, memberitahu TSS memang kes yang kerap berlaku di Amerika, namun jumlah itu semakin menurun sejak kebelakangan ini.

Misalnya, pada 1980, 814 kes TSS dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC), berbanding hanya lima kes TSS dilaporkan pada 1997.

TSS dihasilkan kerana toksin terhasil oleh bakteria dalam faraj kita.

“Tidak dinafikan kebanyakan kes TSS dikaitkan dengan penggunaan tampon ketika haid tetapi tiada bukti mengaitkan TSS dengan tampon. Namun, ramai pakar percaya, tampon menyebabkan TSS kerana ia memiliki daya penyerapan yang tinggi hingga menyebabkan jangkitan dalam darah haid. Selain itu, ia dapat menyerap darah dengan cepat hingga menyebabkan kekeringan vagina,” katanya pada majlis pelancaran Instead Softcup, alat penadah haid atau gegelung instead.

Dalam pada itu, Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Abd Aziz Yahya, memberitahu, walaupun TSS boleh terjadi pada lelaki dan kanak-kanak, ia lebih kerap menyerang wanita datang haid yang menggunakan tampon.

“Kajian populasi merumuskan risiko TSS dikaitkan dengan daya penyerapan tampon. Lebih tinggi kadar penyerapannya lebih tinggi risiko TSS. Ini kerana wanita sering menggunakan tampon dalam tempoh yang lama. Justeru, tampon perlu ditukar setiap tiga hingga empat jam (sama seperti tuala wanita) untuk mengelak masalah,” katanya.

Selain tampon, Amerika turut memperkenalkan sejenis pelapik haid berbentuk cawan yang menadah di pintu vagina. Ia dinamakan instead, seakan cawan yang diperbuat daripada material bebas alahan bukan lateks dan dimasukkan hingga ke pintu vagina. Instead dipakai di dalam, bukan di luar seperti tuala wanita.

Kejayaan instead dipasarkan di Amerika membawa kepada pengenalannya di Malaysia, baru-baru ini. Berbanding tuala wanita biasa, instead boleh bertahan selama 12 jam tanpa perlu ditukar.

Jika tuala wanita bertindak menyerap darah kotor, instead pula menadah atau menakung darah haid. Mungkin ramai wanita yang terfikir jumlah darah haid boleh mencapai hingga dua cawan tetapi sebenarnya ia sekitar dua hingga enam sudu teh saja.

Secara purata kuantiti darah haid antara 30 hingga 40 mililiter atau dua hingga empat sudu makan saja.

Pemakaian instead seharusnya tidak terasa dan selesa. Ia digunakan dengan cara dimasukkan hingga ke pintu rahim dan gegelungnya akan bertindak seperti cawan menadah di permukaan pintu rahim.

Wanita hanya perlu menolak lebih dalam menggunakan jari tangan sekiranya dapat merasai instead tersebut di dalam faraj.

Pemakaian instead lebih mudah dan ringkas kerana anda tidak perlu membasuhnya sebaliknya hanya membiarkan tisu menyerap darah kotor dan membuangnya atau dengan hanya membuang terus darah kotor yang terkumpul.

Ia juga tidak mendatangkan bau hanyir seperti yang biasa dialami sesetengah wanita yang datang bulan.

Namun, wanita yang baru bersalin, keguguran atau baru menjalani pembedahan akibat masalah perbidanan perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan alat ini.

Hal yang sama perlu dilakukan bagi wanita yang ingin menjaga dara kerana instead boleh menyebabkan selaput dara wanita terkoyak.

Kitaran haid

Haid merupakan satu proses bulanan yang normal. Purata kitaran haid berlangsung dalam tempoh 28 hari.

Walau bagaimanapun, kitaran yang normal mungkin berlangsung di antara 21 hingga 35 hari. Semasa kitaran ini, ovari mengeluarkan hormon-hormon estrogen dan progesteron.

Hari pertama kitaran adalah hari pertama haid bulanan datang. Pada hari kelima, dinding dalaman rahim di bawah pengaruh hormon estrogen, mula dibentuk sebagai persediaan untuk mengandung.

Pada hari ke-14, telur akan dikeluarkan oleh salah satu dari ovari, ini dipanggil ovulasi. Selepas ovulasi, paras progesteron meningkat. Seandainya telur tidak disenyawakan oleh sperma, paras progesteron akan jatuh.

Ini akan memaklumkan pada dinding dalaman rahim yang kesediaan untuk menerima hasil persenyawaan tidak akan berlaku dan seterusnya penanggalan lapisan yang dinamakan darah haid, berlaku pada hari ke- 28.

Penanggalan lapisan ini (haid) menandakan permulaan kitaran haid bulanan yang baru.

Sejarah

Wanita zaman dulu menggunakan tuala atau kain yang boleh dicuci dan digunakan semula untuk menghalang darah haid terkena pakaian.

Tuala wanita pakai buang yang pertama dicipta pada 1890 di Jerman.

Hanya menjelang 1927 baru tuala pakai buang dihasilkan, diikuti tampon pada yang diperkenalkan secara komersial pada 1933.

Tuala wanita sentiasa mengalami perubahan dan tuala berpelekat pertama ada di pasaran pada 1970. Penyelidikan menghasilkan ‘cawan’ penadah haid bermula pada 1960-an.

Simptom TSS

1) Demam

2) Muntah pening cirit-birit

3) Ruam merah diikuti kulit yang menggelupas selepas satu atau dua minggu terutama di tapak tangan atau kaki

4) Mata, mulut dan tekak merah

5) Keliru

6) Sakit kepala

7) Hipertensi

8) Kegagalan fungsi organ selalunya ginjal dan hati.

About zainura66

Pencinta Alam Semesta
This entry was posted in Penyakit and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s